Wednesday, 31 March 2010

-Dr Ahmad Tayyib Syeikhul Azhar ke- 48

bismillahirrahmanirrahim...Kaherah – Presiden Mesir, Hosni Mubarak mengumumkan pelantikan Syeikhul Azhar baru, Dr. Ahmad Tayyib yang menggantikan Syeikh Muhammad Sayyid At-Tantawi berkuatkuasa pada hari Jumaat bersamaan 19 Mac 2010 selepas kewafatan beliau di Arab Saudi minggu sebelumnya.

Dr. Ahmad Tayyib, 66 tahun yang merupakan lulusan jurusan Aqidah Islamiah mahir bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Perancis selain banyak menterjemahkan beberapa bahan rujukan Perancis ke dalam Bahasa Arab, serta turut berpengalaman sebagai pensyarah suatu ketika dahulu di Perancis.

Beliau yang memperoleh gelaran Doktor Falsafah dalam jurusan Aqidah dan Falsafah Islam di Universiti Al-Azhar pada tahun 1977, pernah menjawat jawatan sebagai Rektor di kuliah-kuliah Al-Azhar dan juga di universiti-universiti Islam luar Mesir.

Beliau yang juga mempunyai banyak karangan dalam Fiqh dan Tasauf terlibat dalam mengetuai tariqat sufi menggantikan bapanya. Di samping itu, ramai di kalangan ulama’ Al-Azhar memuji ketinggian ilmu beliau berdasarkan pendapat yang dikeluarkan dalam permasalahan agama sebelum ini termasuk ketika beliau pernah menjawat jawatan Mufti Mesir sekitar tahun 2002-2003.

Sebelum ini, Dr. Ahmad Tayyib merupakan pengerusi Lajnah Dialog Antara Agama di Al-Azhar dan anggota Majma’ Buhus Islamiah yang merupakan jabatan tertinggi bagi ulama’-ulama’ Al-Azhar.

b

-Arak di Malaysia semudah membeli air minuman

bismillahirrahmanirrahim...

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Arak di Malaysia boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain sama ada di pasar raya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka seperti 7 Eleven yang dijual tanpa kawalan ketat.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang mendedahkan bahawa Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi di dunia dalam pengambilan arak di dunia.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dalam kenyataan di Parlimen semalam, Dr Mariah juga mendedahkan bahawa rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

Penjualan arak berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun.

Mohamad Suhaimi juga merasa terkejut dengan pendedahan AJK PAS Pusat itu bahawa terdapat peningkatan kadar pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

“DPPWP juga merasa kesal kerana arak dengan mudah mendapat tempat untuk tajaan dan iklan di mana-mana akhbar media arus perdana mahupun di televisyen,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Kerajaan pula, katanya dengan sengaja memberikan lesen kepada pengusaha kelab-kelab malam dan pusat hiburan untuk beroperasi tanpa kawalan yang sewajarnya.

“Kelab-kelab malam inilah juga penyumbang kepada berleluasanya minuman arak sehingga menyumbang kepada gejala sosial yang lebih parah,” ujarnya lagi.

Soalnya, bagaimanakah penjualan dan pengambilan arak boleh bertambah dalam keadaan negara Malaysia yang sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam dan termaktub juga di dalam Perlembagaan bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tidak ada kawalan keras dari kerajaan sebagaimana kawalan yang sama dilakukan terhadap penyalahgunaan dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Dalam Islam, hukuman yang sewajarnya kepada peminum arak adalah disebat dengan 40 hingga 80 kali sebatan. Soalnya, mengapa undang-undang ini tidak terpakai khususnya kepada umat Islam?” soalnya lagi.

Sepatutnya, kata beliau arak perlu diharamkan terus di Malaysia dan alasan bahawa negara ini mempunyai masyarakat majmuk tidak boleh diterima sama sekali kerana kesan arak yang boleh membahayakan kesihatan sama seperti penyalahgunaan dadah dan menghisap rokok.

Tambahnya, arak juga sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak seperti mengharamkan penjualannya di kedai-kedai runcit dan serbaneka seperti di kedai 7 Eleven di samping premis-premis hiburan pula perlu ditutup kerana ia langsung tidak memberi kebaikan kepada rakyat.

DPPWP juga, katanya meminta kerajaan mengharamkan arak untuk diiklankan di mana-mana media eletronik mahupun cetak agar tidak mendapat publisiti murahan.

“Apakah gunanya hasil cukai yang haram dari arak ini kepada kerajaan sedangkan dalam masa yang sama ribuan umat Islam menderita akibat ketagihan arak dan hidup dalam keadaan berdosa,” ujarnya.

-Syaikh Tamimi- Masjid Aqsa dalam bahaya sekarang!!

-bismillahirrahmanirrahim


Selasa, 30/03/2010 – Tayseer Rajab Syaikh Tamimi, Ketua Majlis Keadilan Palestin dan Presiden Pembelaan Islam-Kristian Baitulmuqaddis dan tempat-tempat suci lain, meminta semua rakyat Palestin di seluruh tempat, terutama Baitulmuqaaddis agar hadir di Masjid Al Masjid Aqsa bagi menghalang serangan tentera rejim Israel.

Seruannya dibuat sebagai tindakbalas terhadap Perisytiharan kumpulan-kumpulan ekstremis Yahudi yang berniat untuk menyerbu Masjid Aqsa pada hari Isnin ini untuk meraikan perayaan yang dipanggil “Jangkauan Yahudi” di antara Kubah Batu dan Kubah Al-Selselah, serta pengisytiharan “Gerakan Pengawal Kuil” dalam laman web mereka bagi mengadakan himpunan Yahudi di Masjid Al-Aqsa pada 1 April untuk merobohkan masjid dan membina kuil di atasnya.

beliau juga meminta masyarakat antarabangsa agar segera campur tangan bagi menghentikan pencerobohan Israel terhadap bandar dan tempat suci Islam dan Kristian itu serta menetapkan menghentikan kejahatan dan pelanggaran resolusi Majlis Keselamatan untuk melaksanakan Bab VII daripada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mahu Israel menghentikan semua kejahatan yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa

Sunday, 28 March 2010

-"Magnet Cinta" bawa erti sebenar cinta remaja

bismillahirrahmanirrahim
Allah SWT menciptakan cinta ke dalam hati manusia agar kita menjadi hambaNya, dan khalifah di muka bumi ini untuk sama-sama memakmurkannya.

Selagi manusia menggunakan cinta untuk tujuan itu, selagi itulah cinta itu selamat dan memberi kebahagian kepada kita di dunia dan akhirat.

Itu antara intipati pengisian dalam Coffee Talk: Magnet Cinta yang disampaikan kolumnis terkenal beberapa majalah tanah air, Pahrol Mohd Joui di Kolej Islam Antarabangsa (IIC) baru-baru ini.

Pahrol yang kini merupakan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. berkata, cinta yang sebenar adalah apabila kita mencintai Allah SWT lebih dari segala-galanya.

“Pertama, cinta kepada Allah. Inilah kebaikan. Cinta itu indah kerana yang mencipta cinta ialah yang maha indah.Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sebab itu jika seseorang itu tidak merasa indah dengan cinta, bukan cinta itu tidak indah, tapi kerana hati dia ada masalah,” katanya.

Ujarnya, seseorang yang tahu menggunakan cinta yang dianugerahkan Allah, akan menjadi seorang yang berjaya dan optimis dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Cinta itu kalau tepat pada masanya, tepat siapa yang kita cintai itu, ia adalah kuasa yang tidak dapat ditegah , tidak dapat dihalang dan tidak dapat dicegah.

“Kalau kita mencintai sesuatu yang baik maka kita akan terarah kepada kebaikan. Kita akan menjadi pejuang kepada kebenaran, dan tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada melaksanakan jihad dan kebenaran dalam kehidupan kita, iaitu cinta kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, remaja sering menyalah ertikan definisi cinta sehingga membiarkan diri mereka hanyut dalam hasutan syaitan yang sentiasa mehu memesongkan akhlak dan sahsiah mereka.

“Cinta itu bukan tujuan, tapi hanya jalan. Cinta itu bukan matlamat, tapi alat. Remaja harus tahu meletakkan cinta di tempat yang betul. Jika asyik dilamun cinta sesame manusia sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, seorang anak, itu bukan cinta namanya. Islam tidak mengajar begitu,” katanya.

Coffee Talk: Magnet Cinta merupakan salah satu program dalam Kempen 'One Love: Love Enlighten The Darkness' yang dianjurkan sempena festival konvokesyen kolej berkenaan baru-baru ini.

Koordinator program, Nurul Syahirah Mohd Jamil berkata, kempen berkenaan memilih 'cinta' sebagai tema memandangkan ia satu subjek yang dekat dengan mahasiswa berusia 20-an dan dalam menerapkan soal cinta ke dalam diri mahasiswa, mereka harus meletakkan rasa cinta yang sebenar kepada pencipta, Allah SWT.

"Sebelum kita mengenali diri sendiri, kita mesti mengenal Allah SWT dahulu," katanya.

Kempen anjuran Persatuan Khalifah Muda dengan kerjasama Persatuan Bahasa Arab dan Unit Kaunseling itu diadakan selama seminggu dengan diwarnai beberapa program menarik.

Selain Coffee Talk: Magnet Cinta, turut dipersembahkan kepada mahasiswa ialah tayangan video “Laskar Pelangi”, Musical Talk: ‘Atas Nama Cinta’ dan Teh Tarik and Nasi Lemak Discussion: ‘Dare to Love’.

Tayangan video ‘Laskar Pelangi’ berjaya menggamit minat hampir 80 orang penonton yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar kolej dan orang awam. Tayangan yang berlangsung kira-kira selama 2 jam 45 minit dilihat cukup bermanfaat dengan pengisian tentang zaman persekolahan dan perjuangan dua orang guru untuk mengekalkan sekolah tersebut daripada terkubur begitu sahaja.

Perbincangan menerusi program Teh Tarik and Nasi Lemak Discussion dalam suasana santai ala kopitiam juga berjaya menarik kehadiran mahasiswa.

Panelis yang dijemput juga merupakan panelis yang berpengalaman dan penyampaian mereka itu begitu dekat dengan remaja. Panelis bukan sahaja berpengalaman dalam mengendalikan masalah-masalah yang dibincangkan namun berdasarkan pengalaman mereka sendiri dan ini membuatkan para penonton begitu khuyuk dan yakin dalam menghadapi masalah mereka.

Sebagai rumusan kepada minggu kempen ini, remaja yang terlibat dan hadir ditekankan tentang erti cinta yang sebenar iaitu cinta yang paling agung adalah cinta pada Sang Pencipta, Allah SWT.

Wednesday, 24 March 2010

- Antara pegang Awek dan Pegang Anjing

bismillahirrahmanirrahim...

1. Apa hukum kalau kita pegang orang perempuan bukan muhrim?
[padahal awek, tapi malu nak cakap]

2. Saya keluar dengan tunang saya, tapi kami pegang tangan je. Tak buat pon yang teruk-teruk.


Di bawah aku sediakan jawapan dari soalan diatas berdasarkan ilmu aku yang cetek ini.

1. Hukumnya haram. Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.
Dari Ma'qil bin Yasar Radhiyallahu 'anhu, dia menceritakan, Rasulullah S.A.W pernah bersabda: "Andaikan ditusukkan ke kepala salah seorang diantara kalian dengan jarum besi, yang demikian itu lebih baik daripada dia harus menyentuh wanita yang tidak diperbolehkan baginya".

Dari ‘Aisyah ia berkata: Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam membai’at para perempuan dengan perkataan. Tidak pernah tangan Rasulullah SAW memegang tangan para perempuan, kecuali tangan perempuan yang telah menjadi miliknya (artinya perempuan yang telah dinikahinya = istri Nabi).

2. Hukumnya haram. Bermula dari perkara yang kecil yang kemudiannya boleh menyebabkan terjebak kepada perkara yang lebih teruk seperti zina. Firman Allah S.W.T:


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Surah Isra' ayat 32

Apa jawapan sahabat-sahabat sekalian jika diajukan soalan yang sedemikian? Dibawah ini pula aku sediakan entri yang menarik yang di baca dari blog nuaeman. Jom sama-sama hayati.

Antara Pegang Awek & Pegang Anjing
Kebanyakan ‘peel’ orang Islam di negara kita ni pelik dan aku tak nafikan yang mungkin aku sendiri tergolong dikalangan umat-umat yang pelik dan keliru ni. Bukan sahaja keliru tentang dosa pahala malah kita sering terlupa atau mungkin sengaja tak pandang mana satu dosa yang lebih berat disebabkan kebiasaan yang dah lama terjajah dalam benak pemikiran hingga wujudnya kejahilan tanpa disedari.


Kalau tak faham , saya beri contoh pada perbualan dua makhluk ni:

LEMBU: Hai anjing, apa habaq? Macam ada yg tak kena je?

ANJING: Aku tengah tension nih. Mau je aku gigit manusia tadi.

LEMBU : eh? kenapa?

ANJING: aku lalu tepi dua orang manusia lelaki dan perempuan yg sedang berkepit. Tetiba si lelaki terperanjat dan terus melompat dan berkata “hoi anjing, pergi jauh-jauh, najis!”.

LEMBU: Ya, lah. Ko kan haram. Najis tahap berat bagi manusia. Biasalah tu.

ANJING: Kalau aku najis sekali pon, kalau dia tersentuh aku, boleh disamak. Yang dia sentuh dan raba-raba awek dia tu apa? Boleh ke nak samak dosa?

LEMBU: Betul tu. Memegang wanita yg bukan mahramnya tanpa ikatan yg sah, lebih dahsyat kenajisannya daripada memegang ko anjing, malah tak boleh suci sekalipun di samak.

ANJING: Wah.. ayat ko memang power la… manusia kena ubah pepatah “Pandai macam LEMBU”

Amacam? Paham sekarang? Bukanke orang kita ramai macam ni.. (tak terkecuali aku.. )kalau bab anjing atau lebih-lebih lagi babi@khinzir bukan main najis pada kita tapi perbuatan seharian yang selalu dosanya lebih teruk dari soal sentuh anjing dan babi sikit pun kita tak heran. Tak pelik ke?

Bersentuhan (dengan sengaja & apatah lagi bertujuan syahwat) antara bukan muhrim adalah berdosa dan wajib bertaubat (bagi membersihkan dosa). Sedangkan menyentuh anjing tidaklah berdosa dan hanya perlu disuci (bukan bertaubat). Menyentuh anjing bukanlah satu kesalahan (dosa) atau maksiat. Tetapi, menyentuh wanita bukan mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.

Nabi pesan, sentuh kulit babi yang berdarah tu lebih baik daripada kita sentuh kulit orang yang bukan muhrim kita. Babi tu sehina-hina makhluk pada pandangan kita, orang Islam. Rupa-rupanya, ada lagi yang lebih hina daripada itu. Orang yang membiarkan dirinya disentuh oleh orang yang bukan muhrim lebih hina daripada babi. Erk!

Itu asas pengetahuan dan pengamalan dalam Islam. Mudah saja. Jangan sentuh orang yang bukan muhrim. Jika garis pandu asas ini tidak dipatuhi dan suruhan Tuhan dizalimi, itu yang bermulanya benda-benda lain yang diluar kawalan kita.

Benda ni dah lama dan terus-terusan berlaku. Semuanya bergantung pada keyakinan kita pada Tuhan. Yakin, bukan setakat percaya. Kita semua percaya Tuhan itu ada. Tapi kita benar-benar yakinkah yang Tuhan itu ada? Kiranya jawapannya ya, kita akan akui dan geruni segala kekuasaan-Nya. Kita akan turuti setiap kemahuannya dan tinggalkan larangan-Nya.

Ini sebenarnya bingkisan seorang teman yang telah lama diberikan sebagai peringatan. Rasanya elok juga dikongsikan walau status aku sekarang dah tak beraweks lagi.. tapi masih ada ‘tangan-tangan yang berlawanan jantina semestinya bukan dikalangan muhrim’ dihulurkan untuk berjabat..

Jadi, apa pandangan sahabat-sahabat sekalian tentang permasalahan yang kita anggap remeh-temeh ini? Tepuk dada tanya iman.

Sunday, 21 March 2010

- 10 Wasiat Imam Hassan Al Banna

bismillahirrahmanirrahim...





1. APABILA MENDENGAR AZAN MAKA BANGUNLAH BERSOLAT SERTA MERTA WALAU APA JUA KEADAAN SEKALIPUN.

2. BACALAH AL-QURAN ATAU TATAPILAH ILMU ATAU PERGILAH MENDENGAR PERKARA YANG BAIK ATAU BERZIKIR.JANGAN SAMA SEKALI MEMBUANG MASA DALAM PERKARA YANG SIA-SIA.

3. BERUSAHALAH SEDAYA UPAYA BERTUTUR DALAM BAHASA ARAB FUSHAH KERANA IANYA SALAH SATU SYIAR ISLAM.

4. JANGANLAH BANYAK BERDEBAT DALAM APA PERKARA SEKALIPUN KERANA PERTENGKARAN KOSONG TIDAK MENDATANGKAN SEBARANG KEBAIKAN.

5. JANGANLAH BERGURAU KERANA UMAT YANG BERJIHAD SENTIASA BERSUNGGUH- SUNGGUH DAN SERIUS DALAM SETIAP PERKARA.

6. JANGAN BANYAK KETAWA KERANA HATI YANG SENTIASA BERHUBUNG DENGAN ALLAH ADALAH SENTIASA TENANG LAGI TENTERAM.

7. JANGANLAH BERCAKAP LEBIH NYARING DARIPADA YANG DIKEHENDAKI OLEH PENDENGAR KERANA IA MENJEMUKAN DAN BOLEH MENYAKITI PENDENGARAN

8. JAUHI DARIPADA MENGUMPAT PERIBADI ORANG, MENGECAM PERTUBUHAN- PERTUBUHAN DAN JANGAN BERCAKAP MELAINKAN PERKARA YANG MENDATANGKAN KEBAIKAN.

9. BERKENALANLAH DENGAN SETIAP RAKAN YANG DITEMUI SEKALIPUN TIDAK DIMINTA BERBUAT DEMIKIAN KERANA ASAS DAKWAH IALAH BERKASIH SAYANG DAN BERKENALAN.

10. KEWAJIPAN LEBIH BANYAK DARI WAKTU, OLEH ITU BANTULAH RAKAN UNTUK MEMANFAATKAN WAKTU DAN JIKA BERURUSAN MAKA SINGKATKANLAH MASA PERLAKSANAANNYA.

- Al-Qiadah : Taklifan bukan Tasyrifan

bismillahirrahmanirrahim...

Salam perjuangan buat semua. Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi.

Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia ( PAS ).

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.

Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan ( tasyrif ) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah ( taklif ).

عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

(Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .

Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu memperkasakan institusi kepimpinan ini.

عن أبى موسى قال: دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم أنا ورجلان من بني عمي فقال أحدهما: يا رسول الله أمرنا على بعض ما ولاك الله, وقال الأخر مثل ذلك فقال عليه الصلاة والسلام
"إنَّا والله لا نولِّى هذا العمل أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

Maksudnya : Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi saw. bersama dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: Wahai Rasulullah, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)


Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan dengan pengaruh pidato atau populariti , begitu juga tidak dengan pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti berasaskan kelayakan dan keupayaan syari'e.

Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang muktamar yang ada pemilihan ) tetapi lahir dari kesungguhan berjuang dan keikhlasan berkorban . Bertunjang pula di atas ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.

Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita adalah calon popular adalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus menandingi jawatan kepimpinan tersebut. Tidak memegang jawatan bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam dan parti yang memperjuangkannya.

Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.

Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak . Muktamar jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok yang sangat dinilai hina oleh syara' .

Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.

Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing [ klik ] dari apa yang kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba selama ini melalui usrah dan kuliah haraki di pelbagai peringkat.

Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan keupayaan dan kelayakkan sebenar. Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan dirinya sendiri.

عن عبد الرحمن بن سمرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها

Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

- kita HAMBA

bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum..

sekadar perkongsian dengan semua...

Allah jadikan kita makhluk yang sangat mulia. Kita manusia yang sangat unik..tak sama dengan haiwan..

Kita hidup untuk ape??
*** Tanggungjawab kita kepada Allah..
وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadah kepadaKu"

Janganlah kita solat hanya sekadar melepaskan batuk di tagga sahaja..

Sentiasa koreksi diri...'dari mana asal usul aku??'


"Beramallah umpama kita akan mati esok hari.. Bekerjalah umpama kita akan hidup sepanjang hayat"

("Dunia umpama tuaian, banyak kita tuai, banyak kita akan dapat hasil di akhirat")

***Asal penciptaan hamba***Tanah
Allah sangat sayang kepada hamba-hambanya

Firman Allah yang bermaksud : 'Barangsiapa yang ingat akan Aku semasa dia senang, maka Aku akan ingat padanya semasa dia susah'

Kita tidak memiliki sesiapa tapi kita dimiliki oleh Allah

- Apa guna 1 Malaysia sedangkan BN menuju kehancuran

bismillahirrahmanirrahim...

KEPALA BATAS, 21 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan apa gunanya slogan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sedangkan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sedang menuju kehancuran.

Menurutnya lagi, MCA yang akan memilih kepimpinan baru pada 28 Mac ini hampir terbenam ekoran sikap kepimpinannya sendiri yang rakus serta ego.

"Kalau mahu membina Malaysia ke arah yang lebih cemerlang, kita harus ada kekuatan dalaman terutama parti yang menjadi teras BN. MCA, Gerakan, MIC dan Umno telah hilang kewibawaan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu kerana rakyat tidak lagi menaruh harapan terhadap parti itu," tegasnya ketika perjumpaan dengan masyarakat Cina di Dewan Terbuka Hock Teik, Jalan Satu di sini, petang semalam.

Baginya, BN umpama sebuah kapal yang hampir karam di lautan yang bergelora.

“Bila karam semuanya rosak termasuk enjin serta anak kapal," jelasnya dalam program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pulau Pinang dengan kerjasama DAP Kepala Batas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri resah dengan perkembangan politik kerabat BN terutamanya MCA yang dilihat makin kurang sokongan.
Sampai kini, MCA gagal mencari kepimpinan yang boleh menyelamatkan maruah parti tertua Cina itu.

"Rakyat terdiri daripada masyarakat Cina usah lagi bergantung harap pada MCA sebaliknya kena berani membuat perubahan dan memberikan sokongan padu pada Pakatan Rakyat yang memerintah empat buah negeri," kata beliau.

Sementara itu, wakil masyarakat Cina Kepala Batas, Lai Hock Peng berharap iklim politik sekarang masih menyebelahi Pakatan Rakyat, tambahan lagi Parlimen Kepala Batas ditandingi orang baru, bukan lagi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, pasti PAS yang bertanding berpeluang kali ini kerana lazimnya orang baru sebagai calon BN akan menghadapi masalah perebutan.

"Saya yakin bila PAS bertanding kelak pada pilihanraya umum ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan menang kerana dulu ia hanya bergantung pada nama Tun Abdullah yang terkenal dengan cucu tok guru," jelasnya.

Thursday, 18 March 2010

- Road Show Dana Syaqah di PMRAM cawangan Iskandariah

bismillahirrahmanirrahim...

ISKANDARIAH, 14 Mac
- Road Show Dana Syaqah kini bertapak di Iskandariah. DPM Iskandariah merupakan destinasi yang ke-10 bagi Road Show tersebut. Road Show itu dijalankan di markaz sekitar jam 2 petang, dan merupakan satu pogram bersama pogram Ramah Mesra bersama kepimpinan BP dan HEWI PMRAM.


Apa yang menarik, pihak DPM Iskandariah sempat menyediakan satu replika berbentuk sebuah bangunan yang menggambarkan apartmen PMRAM. Ia merupakan tabung dana syaqah yang dirasmikan di peringkat DPM Iskandariah.

Presiden PMRAM, Saudara Abdul Mu'izz melancarkan gimik perasmian dengan memasukkan wang ke dalam tabung dan membuka pintu replika bangunan.

Di samping itu, beberapa pimpinan BP yang lain sempat menunjukkan kempen menderma di dalam menjayakan Misi Syaqah PMRAM.


- Sesi Muhasabah "Mesra 10" bersama kepimpinan KPIPM

bismillahirrahmanirrahim...

Semalam 17 Mac 2010.. Iskandariah di datangi oleh Kepimpinan KPIPM beserta penasihat. Majlis bermula jam 2.00 petang dengan sesi ta'aruf oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM. Dan seterusnya berlangsunglah sesi muhasabah dan cadangan di antara pimpinan dan ahli.

Alhamdulillah ahli-ahli Perak di Iskandariah seramai 40 orang yang hadir telah memberi komitmen yang sewajarnya kepada mandubah perak....

Jam 4.45 petang, Mesra 10 berakhir dengan ucapan penasihat KPIPM. Selepas selesai majlis, semua hadirin menjamu selera..

AJKT dan AJK HEWI KPIPM bertolak pulang dari Iskandariah selepas menunaikan solat maghrib di Dewan Zajlatul Abidah..

Monday, 15 March 2010

- Perjuangan Umno sangat sesat

bismillahirrahmanirrahim...

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS menolak perpaduan dengan Umno kerana perjuangan parti Melayu itu sebenarnya amat sesat (dhalalah) disebabkan menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama yang menyebabkan banyak pihak tidak faham Islam termasuk bukan Islam.

Mursyidul Am PAS itu berkata, sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Dalam perutusan sempena dua tahun Pakatan Rakyat hari ini, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Berikut ialah perutusan penuh beliau..
Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya:
1. Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2. Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3. Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4. Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5. Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.
Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.
Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.
Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya, maksudnya, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[al-Hujuraat, 49: 13]

Semoga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

- Sekitar KOOL'10 Iskandariah

bismillahirrahmanirrahim...

Setelah berapa lama....baru saya berkesempatan membuka blog...
mungkin kerana agak sibuk dengan Hari Keluarga yang diadakan selama 4 hari yang bertemakan "Ukhuwwah Di Hati Islam Terpatri"

Moga-moga ukhuwwah yang terjalin bukan hanya di dalam program sahaja tetapi akan terus kekal hingga selamanya insyaAllah...

Antara acara-acara yang diadakan....
~Kartun Islamic
~Khat
~Hias bengkang
dan
lain-lain......


*banyak lagi acara-acara yang best.......movie maker, pidato,forum,bola jaring,bola tampar.. & lain-lain..tak sempat nak upload gambar...:)

- kita PERLU tabah....

bismillahirrahmanirrahim...

Satu masa...
aku pernah terasa tidak kuat lagi..
sampai satu saat seseorang send pada
ku klip video nie...
moga-moga klip ini membuatkan kita semua sangat-sangat tabah...
sedarlah...kita hanya diuji sedikit sahaja.......
Apa sangatlah nak dibandingkan dengan mereka...