Wednesday 31 March 2010

-Dr Ahmad Tayyib Syeikhul Azhar ke- 48

bismillahirrahmanirrahim...Kaherah – Presiden Mesir, Hosni Mubarak mengumumkan pelantikan Syeikhul Azhar baru, Dr. Ahmad Tayyib yang menggantikan Syeikh Muhammad Sayyid At-Tantawi berkuatkuasa pada hari Jumaat bersamaan 19 Mac 2010 selepas kewafatan beliau di Arab Saudi minggu sebelumnya.

Dr. Ahmad Tayyib, 66 tahun yang merupakan lulusan jurusan Aqidah Islamiah mahir bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Perancis selain banyak menterjemahkan beberapa bahan rujukan Perancis ke dalam Bahasa Arab, serta turut berpengalaman sebagai pensyarah suatu ketika dahulu di Perancis.

Beliau yang memperoleh gelaran Doktor Falsafah dalam jurusan Aqidah dan Falsafah Islam di Universiti Al-Azhar pada tahun 1977, pernah menjawat jawatan sebagai Rektor di kuliah-kuliah Al-Azhar dan juga di universiti-universiti Islam luar Mesir.

Beliau yang juga mempunyai banyak karangan dalam Fiqh dan Tasauf terlibat dalam mengetuai tariqat sufi menggantikan bapanya. Di samping itu, ramai di kalangan ulama’ Al-Azhar memuji ketinggian ilmu beliau berdasarkan pendapat yang dikeluarkan dalam permasalahan agama sebelum ini termasuk ketika beliau pernah menjawat jawatan Mufti Mesir sekitar tahun 2002-2003.

Sebelum ini, Dr. Ahmad Tayyib merupakan pengerusi Lajnah Dialog Antara Agama di Al-Azhar dan anggota Majma’ Buhus Islamiah yang merupakan jabatan tertinggi bagi ulama’-ulama’ Al-Azhar.

b

No comments:

Post a Comment